Selasa, 18 Oktober 2016

Food truck perlu ada identiti sendiri

 
KUALA TERENGGANU - Perniagaan berkonsepkan trak makanan atau food truck perlu memiliki keaslian dan identiti tersendiri, bagi menarik minat pelanggan untuk membeli makanan yang dijual.
 
Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata, makanan yang dijual perlu mempunyai keunikan tersendiri bagi menarik minat orang ramai untuk kembali lagi bagi mendapatkan produk yang dihasilkan kerana ia tidak dijual di tempat lain.
 
“Pengusaha food truck perlu menghasilkan makanan yang sedap dan unik, mereka juga harus memiliki idea yang baharu supaya dapat memberi kelainan pada perniagaan yang dijalankan.
 
“Dengan adanya identiti yang unik, perniagaannya akan mudah diingati dan dikenali. Biarpun seseorang itu adalah peniaga food truck yang kesepuluh yang menjual air kopi di kawasan yang sama,” katanya.
 
Beliau berkata, kini perniagaan berkonsepkan food truck bukan sesuatu yang baharu malah ia semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat di negara ini.
 
Katanya, selain tidak perlu memikirkan kos membayar sewa bulanan premis perniagaan, konsep ini juga membolehkan perniagaan ini dipromosikan kepada masyarakat di kawasan lain.
 
“Jika dulu, kebanyakan makanan yang dijual menggunakan trak atau van ini seperti rojak, cendol, kuih-muih air minuman pelbagai perisa dan makanan serta minuman yang ringkas, kini, sesuai dengan peredaran masa, perniagaan berkonsepkan trak makanan telah didominasi makanan barat seperti spageti, makaroni, pasta dan burger dan, waffle, pasta, roti , pizza, coconut shake, nasi beriani dan macam-macam lagi.
 
“Ini adalah peluang yang baik untuk anak muda Terengganu membuka perniagaan sendiri dengan berbekalkan modal kecil kerana ia mempunyai masa dengan yang cerah.
 
“Dulu jika ingin membuka perniagaan, mereka memerlukan modal yang besar untuk mendapatkan sebuah kedai malah perlu mencari lokasi yang sesuai memulakan perniagaan. Kini mereka bebas bergerak untuk berniaga di mana-mana lokasi yang sesuai tanpa perlu bergantung pada satu kedai sahaja,” katanya.
 
Muhammad berkata, kerajaan sentiasa memberikan galakkan terutama kepada anak muda yang ingin menceburi bidang perniagaan food truck dengan menyediakan pelbagai pembiayaan selain khidmat nasihat.
 
Katanya, antara pembiayaan disediakan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang menawarkan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM) kepada usahawan perniagaan bergerak yang menggunakan kenderaan, kontena, kabin atau karavan.
 
“Antara kemudahan disediakan dalam pembiayaan SPiM ialah pembelian harta tetap iaitu mesin atau peralatan, pengubahsuaian premis perniagaan dan pemberian modal pusingan. Had pembiayaan diberikan untuk skim ini ialah RM250,000 untuk syarikat milikan tunggal atau perkongsian manakala RM500,000 bagi syarikat sendirian," katanya.
 
Sumber - Sinar Harian
Previous Post
Next Post

About Author