Selasa, 1 November 2016

SPRM Tahan 3 Individu Kemuka Tuntutan Palsu RM400,000

 
ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pegawai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dua kontraktor bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bagi kerja-kerja membabitkan utiliti Telekom Malaysia (TM) di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit, Julai lalu.
Sumber daripada SPRM memaklumkan, ketiga-tiga individu lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira 10 pagi tadi kerana mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran negeri dengan jumlah RM400,000 sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.
“Kerja-kerja utiliti TM bernilai lebih kurang RM1.5 juta, daripada jumlah itu ada sejumlah RM400,000 kerja tidak dibuat tapi dituntut oleh kontraktor-kontraktor ini.
“Kontraktor buat tuntutan palsu iaitu pihak TM yang bertanggungjawab mengesahkan kerja-kerja tersebut telah membuat perakuan palsu kononnya kerja telah siap sedangkan sebaliknya,” katanya.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu itu, atau denda RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan penahanan itu.
 
SUMBER– BERNAMA, MYNEWSHUB.CC
Previous Post
Next Post

About Author