Jumaat, 4 November 2016

Selepas jumpa polis, Husni ceramah isu urus wang negara


BUKIT JELUTONG: Selepas dipanggil polis petang tadi bagi memberi keterangan berhubung kenyataan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas menteri kewangan II tampil berceramah mengenai tadbir urus kewangan negara malam ini.
 
Di acara Kepentingan Tadbir Urus Kewangan anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia, Husni bagaimana meminta pihak media supaya tidak merakam ucapannya.
 
Beliau meminta hadirin dan media supaya menganggap acara malam ini sebagai majlis tertutup.
 
“Kita biar jujur dan ikhlas, selepas majlis ini kita temuramah,” kata Husni, “jadi saya minta tolong tutup rakaman…terima kasih.”
 
Di hadapan kira-kira 200 orang hadirin malam ini, Husni tidak bersedia untuk bercakap mengenai perkara “sensitif”.
 
“Bagi peluang kepada saya untuk tidak bercakap perkara-perkara sensitif,” katanya.
Husni turut mengelak daripada menjawab soalan hadirin mengenai 1MDB.
 
Petang tadi Husni diminta hadir ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berhubung kenyataanya mengenai 1MDB di Dewan Rakyat minggu lalu.
 
Ahli Parlimen Tambun itu mempertikaikan mengapa tiada tindakan diambil terhadap 1MDB yang beliau dakwa menyaksikan banyak kes penggelapan.
 
Antaranya AS$4 bilion (RM16.69 bilion) yang dilaburkan dalam Aabar Investment PJS Ltd, yang tidak dimiliki IPIC.
 
IPIC dan anak syarikat Aabar Investments PJS dalam satu kenyataan bersama pada April berkata syarikat Kepulauan Virgin British itu yang mempunyai nama hampir sama, Aabar Investments PJS Ltd, “bukan entiti dalam kumpulan mereka”.
 
Husni juga menuntut penjelasan mengenai unit pelaburan bernilai AS$1 bilion (RM4.17 bilion), yang sepatutnya matang tahun lepas.
 
Beliau turut mempertikaikan alasan di sebalik keputusan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) meminjamkan RM4 bilion secara sekali gus kepada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
 
Husni meletakkan semua jawatan dalam Umno dan BN tahun ini.
 
Sumber - FMT, MSN News
Previous Post
Next Post

About Author