Jumaat, 4 November 2016

Maria ke Bukit Aman jawab sumbangan yayasan Soros


PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dipanggil polis untuk diambil keterangan esok berhubung dakwaan gabungan itu mendapat sumbangan daripada yayasan George Soros.
 
“Saya terima malam tadi, meminta saya ke Bukit Aman esok pagi jam 10.30 pagi,” katanya kepada Malaysiakini.
 
Sebelum ini dilaporkan beberapa laporan polis dibuat berhubung dokumen bocor yang dimuatnaik DC Leaks, yang menunjukkan Open Society Foundation (SOF) yang diasaskan Soros memberi sumbangan kepada beberapa pertubuhan tempatan di bawah “Malaysia Program” untuk mempromosikan pilihan raya bebas dan adil.
 
Sesetengah pihak menganggap ia sebagai cubaan untuk mencampuri proses pilihan raya negara.
 
Maria memberitahu FMT bahawa Bersih 2.0 hanya menerima sumbangan RM70,000 sebanyak 1 kali sahaja daripada OSF antara 2010 dan 2011.
 
“Jumlah itu sekadar mewakili 11% daripada pendapatan kami ketika itu.”
Beliau berkata pemantau pilihan raya itu tidak menerima sebarang bentuk pembiayaan sejak 2011 dan bergantung kepada sumbangan orang ramai sejak itu.
 
Dokumen OSF itu turut menamakan Malaysiakini sebagai penerima dana OSF.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran berkata dana itu dimaksudkan untuk projek video di Sarawak dan Malaysiakini tidak menjalankan perniagaan untuk menggulingkan mana-mana kerajaan.
 
Polis mewujudkan pasukan 5 anggota untuk menyiasat syarikat media itu mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
 
Sumber - FMT, MSN News
Previous Post
Next Post

About Author