Selasa, 25 Oktober 2016

Selepas ‘suntikan’ bajet, Anak Dara mahu buka kedai

KUALA LUMPUR: Peniaga “Nasi Lemak Anak Dara” Siti Hajjar Ahmad ternyata bukan sensasi viral semata-mata, dan kini memasang impian membuka kedai makanannya sendiri.
 
Beliau sedang giat mengumpul modal bagi merealisasikan matlamat itu.
 
“Kini saya ada membuat penghantaran ke syarikat. Kalau cukup modal, saya bercadang nak buka kedai supaya lebih senang mengendalikan perniagaan, seperti memasak.
 
“Insya Allah, tetapi kena kumpul modal dahulu,” katanya kepada FMT.
 
Segalanya bermula buat gadis kelahiran Kedah berusia 24 tahun itu selepas kisahnya dikompaun RM300 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana berniaga tanpa lesen bulan lalu tersebar meluas di internet.
 
Sejak itu, namanya mula disebut dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri berkunjung ke gerainya bagi menyerahkan borang permohonan lesen berniaga.
Jumaat lalu, Datuk Seri Najib Razak turut menyebutnya dalam pembentangan Bajet 2017 sebagai contoh graduan muda yang berani berniaga.
 
Keesokannya, Siti Hajjar dilaporkan berjaya menjual hampir 1,000 bungkus nasi lemak, berbanding 300 pada Khamis dan 600 pada Jumaat.
 
Menyifatkan pengalaman disebut Najib itu sebagai “sukar dipercayai”, graduan jurusan Kejuruteraan Elektronik Universiti Tun Hussein Onn itu berkata dia masih berhadapan dengan tumpuan media dan orang ramai.
 
“Ada kelebihan dan keburukannya. Misalnya orang semakin kenal (perniagaannya).”
 
Beliau memaklumkan ada pelanggan yang sanggup datang dari Johor untuk membeli nasi lemaknya ketika menyertai Festival Best Street Food di Shah Alam pada 20-23 Oktober lalu.
 
Beliau turut menerima terlalu banyak jemputan menyertai kumpulan Whatsapp sehingga terpaksa mengabaikannya.
 
“Mungkin ada juga mesej pelanggan yang tidak terbalas. Nanti orang kata saya sombong, padahal bukan itu sebabnya,” katanya lagi.
 
Sumber - FMT, MSN News
Previous Post
Next Post

About Author