Khamis, 20 Oktober 2016

Lepas kolam ular, murid dibawa ke kubur jam 2 pagi

PETALING JAYA: Sekumpulan murid yang trauma kerana dipaksa masuk ke dalam kolam lumpur yang dicampak ular sawa di dalamnya, dikatakan turut dibawa ke kawasan tanah perkuburan Kristian pada jam 2 pagi.
 
Astro Awani melaporkan salah seorang peserta program kursus motivasi di Kuala Kangsar, Perak itu berkata jurulatih Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) mengejutkan mereka daripada tidur pada jam 2 pagi dan diarahkan berkawat kaki.
 
“Jurulatih kata kalau kubur orang Kristian duduk sebelah gambar kalau kubur orang Melayu kena pegang batu nisan.
 
“Saya terlalu takut lepas tu menangis, saya macam trauma sebab lepas balik tu saya menangis teringat semua benda yang jadi kat program APM,” kata murid yang enggan didedahkan identitinya itu.
 
Menurut Astro Awani, murid tahun 6 SK Beluru itu berkata dia terlalu trauma dan tidak mahu lagi menyertai kursus anjuran APM pada masa depan.
 
Bapa murid itu turut kesal dengan apa yang berlaku dan berkata anaknya trauma selepas insiden mencampak ular ke dalam kolam dan dibawa ke kawasan tanah perkuburan semasa program motivasi bina diri itu.
“Saya rasa tak wajar meletakkan ular dalam kolam itu kerana anak saya balik dari kem dia jadi macam trauma sehingga kami terpaksa buat rawatan cara kampung.
 
“Tak wajarlah benda-benda itu semua, dia rasa terkilan sikit sebab terjadi macam ni. Sepatutnya mereka tak boleh buat macam ni, masukkan ular, bawa ke kubur pukul 2 pagi,” katanya.
 
Video insiden anggota APM mencampakkan ular ke dalam kolam ketika mengendalikan program kem bina diri yang disertai 45 murid sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menjadi viral selepas dimuat naik ke Internet.
 
Susulan kejadian itu APM berkata ia berlaku secara spontan dan dil uar pengetahuan pihaknya.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Datuk Selamat Dahalan berkata penggunaan ular juga bukan sebahagian daripada modul latihan pasukan itu malah sebarang modul yang disediakan tidak melibatkan penggunaan haiwan.
 
Selepas kes itu menjadi kecoh, APM menggantung 10 kakitangannya termasuk jurulatih dan pembantu dan tidak dibenarkan terbabit dalam mengendalikan program sedemikian. Malam, program kursus bina diri itu juga digantung.
 
Sumber - FMT, MSN News
Previous Post
Next Post

About Author