Isnin, 7 November 2016

Implikasi hutang China RM50 bilion

Gambar Hiasan
KITA baru saja berbincang mengenai bahaya terlalu bergantung kepada negara China dalam pembangunan negara kita.
 
Kebimbangan kita itu terbukti berasas apabila kerajaan mengambil keputusan berhutang RM50 bilion daripada China untuk membina Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
 
Tidak ramai daripada kita tahu mengenai projek raksasa itu kerana tidak banyak atau belum banyak yang diperkatakan mengenainya.
 
Tiba-tiba sahaja ia muncul dan dalam sekelip mata menjadi projek yang akan mengikat kejap pergantungan negara kita kepada China dari segi kewangan, kepakaran dan guna tenaga.
 
Daripada apa yang kita dengar dan baca dari Beijing hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak adalah projek itu dibagi secara francais seratus peratus kepada China.
 
China membekal modal, kepakaran, peralatan dan tenaga kerja. Ini mungkin projek strategik nasional pertama yang diserahkan bulat-bulat kepada sebuah negara asing untuk dilaksanakan.
 
Kita kena ingat, di negara China tidak ada pemisahan di antara kerajaan dengan perusahaan. Kerajaan memiliki semua industri dan kegiatan ekonomi strategik.
Kerajaan China seperti kita maklum adalah kerajaan komunis walaupun dari segi ekonomi ia mengamalkan kaedah kapitalis.
 
Bukan projek ECRL saja dibagi kepada China. Daripada laporan media, kerajaan juga bersetuju, buat kali pertama dalam sejarah, membeli kapal perang persisiran pantai daripada China dan bekerjasama dalam kawalan Laut China Selatan.
 
Saya tidak tahu sama ada Kabinet, Barisan Nasional dan Umno telah membincangkan sedalam-dalamnya anjakan paradigma kerjasama dua hala yang melibatkan negara komunis China itu.
 
Saya tidak mahu mempersoalkan daya maju ECRL kerana saya tidak pernah mendengar mengenainya apatah lagi mengetahui mengenai kajian kemungkinan (feasibility study) ke atasnya. Yang menakjubkan adalah kepantasan projek itu dirancang, diputuskan dan kontraknya diberikan kepada China.
 
Kita tidak menafikan yang China telah mengumpul dana yang banyak dan membangunkan kepakaran dalam bidang pengangkutan kereta api dalam jangka masa singkat.
 
Dalam masa kurang dua dekad China telah berjaya membina sistem kereta api laju di antara Beijing dengan Shanghai dan 1,956 kilometer kereta api gunung di Dataran Tibet.
 
Sejak itu, Parti Komunis China menjadikan kereta api sebagai landasan kedua perluasan pengaruh China secara gandingan kepada laluan maritime.
 
Dasar China adalah menggunakan kereta api untuk “menakluki” daratan dan armada untuk menguasai laut dalam usahanya kembali menjadi kuasa ekonomi dan tentera dunia.
 
Projek-projek di negara kita seperti ECRL, Bandar Malaysia dan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura adalah secocok dengan pelan induk kereta api Asia yang menghubungkan China dengan Asia Tenggara, Asia Selatan dan Eropah.
 
Impian China adalah menjelmakan semula kedua-dua komponen Laluan Sutera (Silk Road), iaitu darat dan laut. Laluan dagangan yang menghubungkan China dengan Eropah itu bermula pada zaman Dinasti Han sekitar 207 sebelum era Kristian hingga 220 era Kristian atau 2,213 tahun lalu.
 
Jadi apa yang sedang berlaku sekarang adalah China menggunakan kuasa kewangan, teknologi, diplomasi dan ketenteraan untuk mengembalikan keagungan tamadun silamnya dalam bentuk baru.
 
Seperti yang telah saya ceritakan dalam rencana-rencana terdahulu, 60 peratus saham syarikat pemaju Bandar Malaysia di tapak Pangkalan TUDM Sungai Besi telah pun dijual kepada konsortium China-Malaysia dan China dipercayai mendahului dalam rundingan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.
 
Baru-baru ini, Pengurus Besar China Railway Group di Malaysia, Cai Zemin berkata, syarikatnya akan membina bandar bawah tanah terbesar di dunia di tapak Bandar Malaysia yang akan menjadi “permata bergemerlapan” dalam rangkaian kereta api China.
 
Daripada aspek hutang kerajaan yang menggunung, pinjaman RM50 bilion daripada negara China itu akan melonjakkannya melepasi RM700 bilion. Itu belum dikira kos kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang dianggarkan RM50 bilion dan hutang 1MDB RM50 bilion. Ada yang kata sudah naik kepada RM53 bilion.
 
Perangkaan Bank Negara Malaysia pada akhir Jun lalu, menunjukkan hutang kerajaan sebanyak RM655.74 bilion. Garis waktu (timeline) hutang kerajaan adalah seperti berikut: Akhir zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak RM189 bilion, Tun Abdullah Ahmad Badawi RM306 bilion dan Mohd Najib sekarang RM655.74 bilion tidak termasuk hutang RM50 bilion daripada China. Wallahuaklam.
 
Oleh A KADIR JASIN
 
Sumber - sinar harian

Jumaat, 4 November 2016

Kata Zahed Saidin Cukai GST Di London 20% Tapi mereka Tak Salahkan Kerajaan, Sedangkan Di Malaysia GST 6% Dah Mengeluh


RAKYAT Malaysia sering kali mengeluh mengenai Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasakan di negara ini sejak April tahun lalu.

Namun tahukah anda, di negara maju seperti United Kingdom (UK), rakyat mereka tidak sesekali pun mengeluh dan menyalahkan kerajaan dengan cukai sama yang dikenakan mereka malah dengan kadar peratus yang jauh lebih tinggi daripada dikenakan di sini.

Di bawah merupakan hasil coretan seorang netizen, Zahed Saidin yang berada di London baru-baru ini kerana mengikuti Kursus Kepimpinan dan Pengurusan.Di sana beliau telah dihujani pelbagai persoalan daripada penduduk UK mengenai keluhan rakyat Malaysia mengenai GST yang dikenakan terhadap mereka.

Jom baca pengalaman beliau,


“Semalam saya di hantar untuk penempatan sambil belajar di Syarikat Akauntan yg agak terkenal di UK iaitu James Cowper Kreston di Reading.

“Kira-kira 40 minit naik Komuter dari Paddington, London.

“Banyak perkara perbandingan antara amalan perakaunan dan percukaian di Malaysia-UK dibincangkan.

“Satu perkara yg agak memalukan saya sebagai rakyat Malaysia apabila mereka tahu tentang penentangan rakyat terhadap GST dan Cukai Pendapatan (income tax) Malaysia.

“Secara baik mereka tanya kenapa rakyat Malaysia begitu takut dengan GST dan tax. Di UK GST (VAT) mereka adalah 20%.

“Sedangkan Malaysia cuma 6%. Sangat jauh beza dgn UK. Sementara Cukai Pendapatan Mereka bermula dengan 20% – 40% – 45%. Sedangkan Malaysia tidak lebih 28%.

“Ini bermakna, setiap bulan, payslip mereka selalu menunjukkan kehilangan hampir separuh dari pendapatan bulanan mereka utk potongan Cukai Pendapatan sahaja. Dan mereka masih boleh hidup di UK tanpa menyalahkan Kerajaan tak tentu pasal.

“Sebagai perbandingan, saya tanya tentang gaji permulaan bagi ijazah pertama. Berapa gaji student yg baru grad jika mereka mula bekerja.

“Menurut Undang2 Buruh mereka gaji ijazah pertama hendaklah tidak kurang daripada 2500 Pound.

“Purata gaji Ijazah Pertama adalah antara 2500 hingga 3500 pound. Saya lihat angka yg sama dengan gaji Kakitangan Awam Malaysia bagi gred 41.

“Kos pengangkutan juga mahal kata mereka. Harga rumah flat 2 bilik di pinggir London tidak kurang 300 ribu pound.

“Jika di London lebih mahal. Sekali lagi angka yg sama dgn Malaysia.

“Benar harga kereta mereka lebih rendah dari Malaysia dan banyak bantuan kepada golongan miskin diberikan.

“Melihat kepada GST dan income tax mereka yg sangat tinggi, menunjukkan Kerajaan UK telah mengambil awal-awal lagi wang gaji rakyat mereka sebelum sempat mereka berbelanja.

“Kemudian cukai itu menjadi pendapatan negara sebelum diberikan semula kepada rakyat lain dlm bentuk kereta murah, bantuan bulanan, elaun org miskin dll.

“Saya bagitau mereka, rakyat Malaysia selalu bandingkan harga kereta Malaysia yg mahal berbanding dengan UK.

“Jika kita hendakkan perkara yg sama dgn UK, maka rakyat Malaysia sepatutnya bersedia dengan perkara yang sama iaitu membayar GST 20% dan membayar income tax hingga 45%. Saya percaya rakyat Malaysia tidak mahu.

“Mat Saleh tu nampak bersetuju dengan saya. Sebenarnya saya nak cover kelemahan pengetahuan rakyat Malaysia tentang GST serta pandangan sinis mereka terhadap kita. Selepas itu saya bercerita tentang kereta buatan British, Bola Sepak British, Golf dan Tennis,” tulisnya.

Sumber – Mynewshub

Khamis, 3 November 2016

Ini Rahsia Bagaimana Saya Dapat Travel Setiap Hujung Minggu Dengan Duit Bisnes Sampingan

Ini Rahsia Bagaimana Saya Dapat Travel Setiap Hujung Minggu Dengan Duit Bisnes Sampingan
Tips yang masuk akal untuk travel setiap hujung minggu dengan bergaya beserta bajet yang minimal atau tak guna duit lansung tetapi dengan lagak yang mewah.
Semenjak dua menjak ni, ramai pulak yang kecam saya travel pada tiap-tiap minggu dengan menggunakan hash tag #travelbajet #traveltakderduit ni. Yelah, mana tak nya, travel naik kelas perniagaan, makan di Hard Rock Cafe, makan lobster.
Mana tak hangin netizen dengan saya bila saya upload semua tu. Okeh dik, meh saya  kongsi sikit ilmu abam yang tak seberapa ni.

1. Rancang Parameter kos
Mula-mula set parameter, berapa harga tiket flight, berapa harga penempatan, kos makan minum, kos pengangkutan dan sebagainya. Parameter kos adalah penting untuk anda tahu berapa jumlah yang bakal anda keluarkan nanti.
2. Rancang target kos
Rancang target kos berdasarkan kesesuaian bajet anda. Katakan kos travel anda RM500 untuk ke Kuching. Namun, anda hanya ada RM100, jadi anda perlu set target untuk anda cari duit tambahan sebanyak RM400 lagi. Macamana? Kita kupas sekejap lagi.
3. Rancang strategi
Rancang strategi untuk anda mencapai target. Contohnya strategi sebelum travel, semasa travel dan selepas travel.
Antara strategi-strategi yang saya boleh kongsi ialah:
cara-buat-duit-untuk-travel-4

Sebelum travel (pre-travel)

a. Bisnes sebelum travel
(i) Jualan sementara (temporary business)
Katakan tadi anda perlukan lagi RM400 untuk ke Kuching. Apa yang anda perlu lakukan ialah buat bisnes sementara (temporary business). Terdapat macam-macam peluang bisnes dalam talian (online) yang berbentuk sementara.
Contoh, anda terjumpa sales perfume, tudung, toiletries beg di mana-mana mall. Apa lagi, ambil la pesanan dari rakan-rakan Facebook anda. Untung sebanyak RM200-RM500 untuk satu jualan senang untuk dicapai sekiranya anda usaha dan rajin.
(ii) Jualan tiket Final Call Air Asia
Rajinkan diri anda untuk mengikut rentak Air Asia Final Call sekiranya ingin travel dalam masa terdekat dan pada hujung bulan. Anda boleh mengajak teman-teman untuk travel bersama menggunakan big points anda dan dalam masa yang sama ada boleh jual big points anda kepada mereka.
Tips: Anda boleh mengajak kawan-kawan anda untuk travel dengan anda dalam kumpulan, kemudian buat pembelian sekali gus dalam satu transaksi. Serta kenakan mereka yuran servis (service fee).
Sebagai contoh, katakan untuk satu tiket, ambil yuran servis sebanyak RM50. Jika tiket tersebut berharga RM150, anda jual kepada 3 orang dah dapat untung RM150. Bermakna tiket anda ke destinasi tersebut adalah percuma. Jika lebih, anda boleh masukkan dalam tabung penginapan.
(iii) Jadi ejen travel yang tak bertauliah
Ringan-ringankan lah mulut untuk tawarkan diri anda jadi travel ejen yang tak bertauliah.
Target market: mak cik-mak cik kat pejabat, mak cik- mak cik kenalan keluarga anda, kawan-kawan pejabat serta siapa sahaja yang tidak biasa dengan Online Travel Agent (OTA).
Untuk tiket yang lebih murah, guna Traveloka.com untuk destinasi negara Asia. Kebiasaannya ada diskaun sehingga 15% sekiranya anda menggunakan kod khas.
Berikan quotation harga biasa kepada mereka. Namun semasa pembelian gunakan kod promo, dan untung yang akan anda dapat sebanyak 15% atau pun RM100 maksima untuk setiap pembelian boleh dimasukkan ke dalam tabung travel.
cara-buat-duit-untuk-travel-1
b. Manipulasi Keahlian Program Setia (Loyalty Program)
Ingin menginap di hotel secara percuma? Atau menginap di hotel 5 bintang yang berharga RM500 semalam tapi anda hanya bayar RM100 semalam?
Senang je, lupakan Trivago, lupakan AirAsia Go. Walaupun Trivagomembandingkan dengan harga yang murah dan AirAsia Go kononnya ada banyak diskaun, namun untuk jangka masa panjang ianya tidak lah menguntungkan anda pun.
Seperti saya, Agoda menjadi pilihan saya. Setiap kali saya menginap, saya akan diberikan point yang akan ditukar kepada nilai USD25 untuk 12500 points.
Ringan-ringankan juga mulut untuk menolong rakan-rakan anda untuk tempah bilik hotel menggunakan akaun anda. Point hasil dari tempahan akan menjadi milik anda sepenuhnya.
Selain Agoda, banyak lagi syarikat lain yang akan menawarkan pakej yang menarik untuk pelanggan tetap mereka. Jadi, tiada alasan untuk anda bergaya sewaktu travel setelah point anda dah jadi segunung nanti.
Nota Agoda: Penebusan mata ganjaran Agoda adalah untuk pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka sebelum 1 April 2014. Namun, Agoda telah menggantikannya dengan Point Max untuk penebusan ‘Airlines Miles’ dan Reward Gift untuk penebusan bilik hotel.
c. Kad Kredit mesra traveler
Kad kredit ni sebenarnya penting untuk traveler. Selain membantu anda untuk beli tiket sewaktu adanya promosi yang tak dijangka, sesetengah kad kredit membolehkan anda untuk memasuki lounge di lapangan terbang secara percuma mengikut taraf kad anda.
Sebagai contoh AEON Gold Card memberi keistimewaan kepada pengguna mereka untuk memasuki lounge secara percuma sebanyak 5 kali setahun. Tak susah bukan untuk menikmati lounge seperti VVIP walaupun menggunakan penerbangan tambang murah.
d. Ahli Setia Kad Penerbangan
Menjadi orang yang setia ni memang banyak kelebihan dia. Tak lupa juga untuk Kesatuan Penerbangan. Terdapat 3 kesatuan penerbangan yang popular di dalam dunia iaitu One World Alliance, Star Alliance and Sky Team Alliance.
Perkara yang pertama yang anda perlu tahu ialah, kenal pasti syarikat penerbangan anda dari kesatuan yang mana dan siapa ahli dari kesatuan tersebut.
Pilih salah satu daripada rangkaian mereka. Contohnya saya memilih Qatar Airways untuk One World, Garuda Air untuk Sky Team dan Lufthansa untuk Star Alliance.

Untuk pengetahuan anda, sekiranya anda pemegang Silver, Gold atau pun Platinum Card, anda boleh menikmati keistimewaan yang ada pada kad anda seperti memasuki lounge secara percuma atau menolak dari point anda secara bergaya.
Kad keahlian juga boleh digunakan untuk menaik taraf kelas ekonomi ke kelas perniagaan atau kelas perniagaan ke kelas pertama.
Nota: Emirates dan Ethihad tidak menyertai mana-mana kesatuan. Jadi adalah penting untuk memiliki kad keahlian mereka juga.
e. Bayar kurang, bergaya lebih
(i) Naik taraf kelas perniagaan dengan harga minimal
Sekiranya anda telah membeli tiket kelas ekonomi tapi teringin nak bergaya dengan kelas perniagaan namun ada masalah dengan kengkangan bajet? Tak ada hal!
Jika anda terbang menggunakan Malaysia Airlines, anda boleh membuat bidaan dengan harga minimal untuk anda dinaik taraf ke kelas perniagaan. Jumlah harga yang akan anda bayar adalah jauh lebih rendah dari harga kelas perniagaan yang sebenar.
Untuk pengguna AirAsia X dan Vietnam Airlines, anda juga tidak perlu risau. Anda boleh mengunakan laman web optiontown untuk membuat bidaan.
cara-buat-duit-untuk-travel-3
cara-buat-duit-untuk-travel-2

Semasa Travel (event date)

a. Bisnes Semasa Travel
(i) Personal Shopper
Sekiranya anda pergi ke kota fesyen, jangan lupa untuk menawarkan diri anda sebagai personal shopper. Apa tu personal shopper? Personal shopper ni, kita tolong belikan barang berdasarkan apa yang dipesan dari pelanggan.
Macam mana nak dapat untung? Anda bolej kenakan caj kepada pelanggan anda antara RM10 – RM30 sebagai contoh untuk satu barang yang berharga bawah RM1000.
Tambahan lagi, anda juga boleh membuat tuntutan cukai perkhidmatan dan barangan (GST and VAT) sebanyak 6% – 11% berbeza pada setiap negara. Katakan beg LV berharga RM5000, 11% dari harga tersebut bersamaan RM550. Bayangkan untuk satu Bandar sahaja anda mampu memperolehi RM550 untung.
(ii) Jualan barang berjenama (branded)
Selain dari menjadi personal shopper anda juga boleh menjual barang-barang branded seperti hand bag, mandian dan sebagainya di mana anda boleh mengambil pesanan siap-siap di Malaysia (pre –order) sebelum membuat belian di luar negara.
Berbeza dengan personal shopper, melalui cara ini anda boleh meletakkan harga anda siap-siap (mark up) dan menjualnya dengan harga yang sesuai.
Contoh: Bag Long Champ berharga RM200 selepas tolak VAT. Anda boleh menjualnya dengan harga RM270, dan pastikan ianya di bawah harga pasaran di Malasyia (RM370).
Jadi sekiranya 10 orang yang membeli dari anda, anda akan untung RM700 untuk satu jualan. Menarik kan? Apa anda boleh dibuat dengan RM700? Tepuk dada tanya selera.
(iii) Jualan barangan cenderamata dan makanan
Anda perlu mengenal pasti barangan cenderamata atau makanan di tempat yang akan anda lawati dan bandingkan dengan  harga pasaran di tempat anda. Contoh: ikan terubuk masin di Kuching, ikan bilis di Sandakan, Kek Kartika Sari di Bandung. Ambil pesanan, dan jual. Duit hasil jualan anda boleh dimasukkan ke tabung untuk trip yang akan datang.
b. Manipulasi kad keahlian
(i) Makan percuma di Hard Rock Café
Bagi setiap transaksi anda akan mendapat sekeping resit di mana terdapat kod-kod yang diberi boleh digunakan untuk menyertai kaji selidik di atas talian.
Setiap kaji selidik yang disertai, anda akan mendapat ‘appertizer’ secara percuma. Selain itu, anda juga bole mendapat diskaun pembelian dengan menggunakan kad keahlian Hard Rock (tertakluk kepada sebarang pertukaran syarat).
Tips: 10 barang dengan 10 transaksi sekiranya negara tersebut tidak boleh membuat tutuntan cukai VAT/GST. Maka anda akan mendapat 10 appetizer! Kelas tak?
cara-buat-duit-untuk-travel-6

Selepas Travel (post-travel)

(i) Jualan
Apa-apa sahaja jualan yang anda rasa ada permintaan anda boleh jual. Sebagai contoh, anda terjumpa minyak wangi 50% di lapangan terbang. Namun tak sempat untuk mengambil pesanan? Anda beli dulu menggunakan duit anda, dan jual kemudian. Hasil untung boleh digunakan untuk tampung kos trip minggu hadapan.
Nampak tak? Nampak tak? Tak susahkan untuk travel pada setiap minggu? Yang penting ada misi dan visi. Pelaburan di peringkat awal tu penting supaya anda bahagia pada peringkat seterusnya.
Bagi sesiapa yang mempunyai teman rapat di mana-mana syarikat penerbangan anda boleh gunakan ini sebagai kelebihan untuk yang mendapatkan ‘Families and Friends’ program atau rakan yang sudi menjual tiket consession dengan harga yang rendah.
Sekian dari saya.
“Travel Like a Boss, Pay Like a Beggar”
Sumber - thevocket.com