Selasa, 8 November 2016

Terima dana asing tak salah di sisi undang-undang

 
SHAH ALAM – Tindakan menerima dana asing mungkin tidak salah di sisi undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
 
Ini kerana katanya, buat masa ini tidak ada peraturan atau undang-undang khas berkaitan sumbangan asing boleh dikuatkuasakan ke atas penerima dana asing.
 
Bagaimanapun, beliau akui pendedahan daripada pihak berkaitan berkenaan penerimaan sumbangan daripada Open Society Foundation (OSF), yang dimiliki oleh George Soros adalah sesuatu yang membimbangkan.
 
“Malaysia sebuah negara yang berdaulat. Setiap rakyat Malaysia boleh berbeza pandangan tetapi kita perlu sependapat agar tiada campur tangan dalam urusan pentadbiran dan politik di negara ini.
 
“Bagaimanapun, kita tidak bertolak ansur dengan perkara yang boleh menggugat kedaulatan dan demokrasi negara ini. Setiap warga negara yang cintakan negara ini seharusnya tidak bertolak ansur dengan sebarang pencabulan daripada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Beliau turut berpandangan sudah tiba masanya bagi Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan Peraturan Pertubuhan 1984 untuk dikuatkuasakan kepada pelbagai kategori pertubuhan.
 
“Secara dasarnya, pendaftaran badan-badan bukan kerajaan (NGO) akan melalui Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (ROS) atau Suruhanjaya Syarikat-Syarikat Malaysia (ROC)  dan tertakluk kepada undang-undang berkaitan.
 
“Namun, terdapat keperluan untuk menambah baik akta ini dengan mengambil kira prosedur laporan terhadap sumbangan yang diterima  adalah mengikut tadbir urus yang betul, telus dan bertanggungjawab,” katanya lagi.
 
Ujarnya lagi, akta itu juga perlu menyediakan ruang untuk mengawalselia pendaftaran gabungan NGO-NGO seperti Bersih bagi menghalang sebarang penyalahgunaan.
 
“Ia bertujuan membentuk pembangunan sosial dan masyarakat yang lebih baik di negara ini,” ujarnya.
 
Sumber- Sinar Harian
Previous Post
Next Post

About Author