Menu

Isnin, 12 Disember 2016

Bolehkah Pembangkang Menang PRU Lepas Bersih 5?

Bolehkah Pembangkang Menang PRU Lepas Bersih 5?
1- Di sebalik provokasi kumpulan Baju Merah sejak himpunan Bersih 5 diumumkan, orang ramai tetap turun berhimpun di Kuala Lumpur.
2- Walaupun pada asalnya Tun Dr Mahathir tidak menghadiri perhimpunan tersebut kerana berada di Sudan, hal tersebut sama sekali tidak mengubah hasrat mereka yang ingin turun ke jalan raya semalam.
3- Bagi mereka, turun tetap turun. Lawan tetap lawan.
4- Kehadiran peserta Bersih 5 sememangnya ramai walaupun media arus perdana cuba menafikannya.
5- Yang pasti, wang tunai, makanan dan baju percuma tidak mungkin mengumpulkan lebih 50 ribu orang dari pelbagai kaum untuk berhimpun. Jamal dan konco baju merahnya hanya berjaya mendapatkan 3 ribu penunjuk perasaan walaupun dikatakan mewakili sebuah parti yang mempunyai 3 juta ahli.
6- Melalui sambutan dan kehadiran Bersih 5 semalam, kerajaan sememangnya semakin kehilangan sokongan yang besar di kalangan penduduk bandar- lebih-lebih lagi kerajaan sekarang berdepan dengan isu integriti dan salah guna kuasa oleh pemimpin tertingginya.
7- Perkara ini berlaku kerana menghairakan memandangkan penduduk di kawasan bandar adalah cenderung untuk bersikap ‘anti-establishment’ sebagaimana di negara-negara lain. Dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini pun, hampir semua kawasan bandar (kecuali Kangar dan Johor Bahru) dimenangi oleh parti pembangkang.
8- Namun, di sebalik memenangi kerusi di kawasan-kawasan bandar di seluruh Malaysia dan mempunyai undi popular, parti pembangkang masih tidak berjaya membentuk kerajaan persekutuan.
9- Hal ini berikutan komposisi jumlah pengundi yang berbeza bagi kerusi di bandar dan kerusi di luar bandar. Sebagai contoh, kerusi Kapar mempunyai 144 ribu jumlah pengundi. Jumlah ini adalah 5 kali ganda lebih banyak berbanding kerusi Padang Rengas yang hanya mempunyai 28 ribu pengundi.
10- Adakah ini suatu penipuan atau bahasa inteleknya dipanggil ‘gerrymandering’? Mungkin ya, mungkin tidak atau mungkin ini adalah perkara biasa.
11- Jika dilihat, Donald Trump menjadi presiden kerana mendapat sokongan yang tinggi di kawasan luar bandar berbanding Hillary Clinton yang popular di bandar. Britain juga keluar Kesatuan Eropah kerana undi dari kawasan luar bandar walaupun kota London memilih untuk kekal. Jadi, kawasan luar bandar adalah kunci kepada kemenangan sekalipun di negara-negara maju.
12- Sebenarnya, tujuan kawasan luar bandar diberikan suara yang sama banyak dengan kerusi di bandar walaupun mempunyai jumlah pengundi yang lebih sedikit adalah memastikan suara mereka diambil berat oleh parti politik dan ahli politik.
13- Jika kerusi-kerusi pilihanraya dibahagikan sama banyak mengikut jumlah pengundi, ia menjadikan kawasan bandar mempunyai lebih banyak kerusi berbanding kawasan luar bandar. Ini kerana jumlah penduduk di bandar adalah jauh lebih ramai. Jika ini keadaannya, parti politik hanya perlu bermain facebook dan twitter dalam berkempen dan tidak perlu peduli kepada pengundi luar bandar kerana bilangan kerusi mereka tidaklah begitu signifikan.
14- Oleh itu, mahu tidak mahu, setiap parti politik (setidak-tidaknya di Malaysia) harus berkempen dan menenangi hati pengundi di luar bandar. Inilah sistemnya dan ini jugalah permainannya.
15- Bersih 5 yang dianjurkan semalam sudah jelas memberikan mesej kepada parti pemerintah bahawa majoriti orang di bandar akan menolak mereka.
16- Tetapi, janganlah terkejut jika parti pemerintah masih menjadi kerajaan persekutuan pada pilihanraya yang akan datang. Perkara ini boleh terjadi jika parti pembangkang berterusan tidak menambah bilangan kerusi mereka di kawasan luar bandar.
17- Oleh itu, untuk memenangi kerusi di luar bandar, mereka (parti pembangkang) memerlukan undi orang Melayu. Satu perkara yang menarik dalam Bersih 5 adalah peningkatan peserta Melayu jika dibandingkan dengan himpunan Bersih 4. Dan peningkatan ini begitu ketara dan berjaya digerakkan tanpa bantuan parti PAS. (Sebelum ini, ahli merekalah yang paling ramai menyertai himpunan.)
18- Adakah ini bermaksud parti BERSATU telah mempunyai ‘traction’ di kalangan orang Melayu termasuk ahli UMNO? Adakah penyokong PAS yang tidak setuju dengan arahan parti bertindak keluar berhimpun? Atau kedua-duanya sekali?
19- Sokongan orang Melayu amat penting terutama pada pilihan raya akan datang yang mana akan menjadi ‘The Malay Election’. Kewujudan BERSATU yang berasaskan orang Melayu adalah tepat dalam menyaingi parti UMNO.
20- Tsunami Cina yang menyaksikan lebih 85%-90% sokongan kaum Cina kepada parti pembangkang tidak akan terjadi lagi pada pilihan raya akan datang melainkan pengundi Cina yakin kerajaan akan berubah. Jika tidak, sokongan pengundi Cina kepada pembangkang hanyalah sekitar 65%- 75%.
21- Untuk hal ini berlaku, ‘Tsunami Melayu’ perlu berlaku. Dan kehadiran peserta Melayu di Bersih 5 boleh jadi adalah satu permulaan.
22- Sungguhpun begitu, jika PAS masih kekal dengan prinsip ‘ke pakatan tidak, ke barisan pun tidak’ dan menjadikan pertandingan tiga penjuru, Barisan Nasional akan mendapat majoriti 2/3 dengan lebih kurang 160-166 kerusi. PAS tidak akan menambah bilangan kerusi mereka.
23- Oleh itu, PAS boleh menilai kembali prinsip mereka melihatkan situasi di Bersih 5 yang menyaksikan kehadiran lebih ramai peserta Melayu dan pada masa yang sama menanti sehingga 24 November sama ada rang undang-undang persendirian Presiden mereka dibawakan ke dalam dewan atau dibiarkan sepi.
24- BERSATU pula, selepas mendapat publisiti melalui himpunan awam di bandar haruslah berusaha meningkatkan sokongan orang Melayu di kawasan luar bandar terutama di 24 kerusi UMNO yang majoritinya hanya 2,000 undi ke bawah. Mendaftarkan lebih ramai pengundi muda Melayu juga adalah cara yang berkesan memandangkan ahli BERSATU majoritinya adalah golongan muda.
25- Bagaimana UMNO mahu mengekalkan atau meningkatkan sokongan orang Melayu bergantung kepada strategi mereka dan mereka sudah pasti tahu caranya kerana mereka adalah ‘market leader’ dalam segmen pengundi Melayu. Memandang rendah keupayaan parti politik melayu terbesar ini hanya menjadikan pengundi di bandar ‘delusional’.
26- Bersih 5 sememangnya tidak menyebabkan Perdana Menteri letak jawatan. Jauh sekali berjaya menggulingkan kerajaan. Tetapi sejarah melihatkan Bersih 1 yang disertai pelbagai kaum pada 2007 telah menafikan Barisan Nasional majoriti dua per tiga dalam pilihan raya 2008. Dan kita semua tahu setahun selepas itu Malaysia mendapat seorang Perdana Menteri yang baru.
27- Sejarah juga melihatkan pada kita Bersih 2 dan Bersih 3, (walaupun mendapat lebih banyak sambutan) tetap tidak berjaya menukar kerajaan pada pilihanraya 2013. Sudah pasti terdapat beberapa pengajaran yang boleh dipelajari.
28- Sejarah, sebagaimana yang kita tahu, adalah guru yang terbaik. Belajarlah.
Radzi Tajuddin
Pemerhati Tidak Bebas
sumber - apemazing.com

Selasa, 6 Disember 2016

Raja Salman isytihar batal yuran visa haji, umrah

Raja Salman isytihar batal yuran visa haji, umrah
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz
RIYADH - ARAB SAUDI. Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman mengisytiharkan pembatalan yuran visa bagi umrah dan haji bermula tahun ini.
 
Ia susulan protes rakyat Mesir dan umat Islam di negara lain berkenaan yuran visa itu yang disifatkan mahal.
 
Perkara tersebut diumumkan oleh Ahli Jawatankuasa Tinggi untuk haji dan umrah, Nasir Toruk, lapor Alborsa News.
 
Selain pembatalan caj baru yang dikenakan itu, Arab Saudi juga kan memberikan dua visa percuma untuk setiap syarikat berlesen yang bekerja dalam bidang haji dan umrah.
 
Sementara itu, pihak berkuasa Arab juga turut menggesa orang Mesir untuk menubuhkan satu badan yang mengawal syarikat-syarikat di sini khusus dalam sektor pelancongan agama.
 
Bekas Ketua Jawatankuasa Pelancongan Agama, Basel Al-Sisi mengatakan bahawa pembatalan caj ini akan memberikan kesan positif kepada sektor pelancongan agama.
 
“Ia merupakan langkah positif ke arah yang betul,” katanya kepada wartawan.
 
Sumber - Sinar Harian

Sabtu, 3 Disember 2016

'Menangis Guan Eng kalau tahu 'rahsia' Muhyiddin'

'Menangis Guan Eng kalau tahu 'rahsia' Muhyiddin'
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR - Umno Pulau Pinang membidas sikap bekas Timbalan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini dilihat sanggup menggadai prinsipnya demi kepentingan politik peribadi.
 
Menurut Ketua Umno Bahagian Bagan, Datuk Ir Dr Shaikh Hussein Mydin, 'Muhyiddin yang dahulu bukanlah yang sekarang' kerana peribadinya kini sangat berbeza.
 
"Waktu Muhyiddin jumpa kami dalam bilik untuk bincang mengenai pilihan raya (dulu), punyalah beliau rasis.
 
"Menangis Guan Eng kalau tahu," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau turut mencabar Muhyiddin untuk mengulangi pendiriannya kini mengenai kata-katanya dahulu.
 
"Muhyiddin saya nak tanya adakah anda kini 'Malay first, atau Malaysia first'... hari ini dia siapa?
 
"Jawab balik," katanya.
 
Sementara itu,katanya Umno Pulau Pinang akan terus memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu, walaupun berhadapan cabaran di negeri itu, yang kini diperintah oleh pembangkang.
 
"Kita sanggup ke lokap kerana Melayu Islam," katanya lagi.
 
Sumber - Sinar Harian

Ahad, 20 November 2016

[VIDEO] Kejutan Di Bersih 5, Netizen Terharu Lihat Tun M Turun Padang

[VIDEO] Kejutan Di Bersih 5, Netizen Terharu Lihat Tun M Turun Padang
cover-tun-m
Suasana perhimpunan Bersih 5 yang berlangsung di sekitar Kuala Lumpur siang tadi semakin gamat dengan kehadiran mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad atau lebih mesra disapa sebagai Tun M. Beliau diiringi oleh presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyddin Yaasin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, merangkap anak kepada Tun M sendiri.
Orang awam yang berhimpun bersorak apabila melihat tokoh yang disegani ramai itu tiba di Bersih 5, tidak kurang juga yang berasa terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh Tun M untuk hadir ke perhimpunan tersebut walaupun setelah melalui 10 jam penerbangan dari luar negara!

Turun Pesawat Pakai Baju Bersih

a1b411f8-d1ab-48af-9c51-81f98689f111
Menurut pembantu Tun M, Sufi Yusof, Tun M baru terbang ke Malaysia selepas selesai menghadiri sebuah persidangan di Sudan. Seperti yang kelihatan pada gambar, Tun M turun dari pesawat dengan menyarung T-shirt Bersih 5 berwarna kuning diluar kemeja putih berkolar yang dipakainya.
Dilaporkan pesawat peribadi yang membawa Tun M tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Netizen Doakan Kesihatan Tun M

screen-shot-2016-11-19-at-5-53-23-pm
screen-shot-2016-11-19-at-5-53-44-pm
screen-shot-2016-11-19-at-5-54-02-pm
screen-shot-2016-11-19-at-5-54-34-pm
screen-shot-2016-11-19-at-5-54-56-pm
Ini merupakan kali kedua Tun M menghadiri perhimpunan tersebut, selepas kemunculannya di Bersih 4 bersama Tun Dr. Siti Hasmah pada tahun lalu. Rata-rata netizen mendoakan kesihatan Tun M yang sudah menjangkau ke usia 91 tahun, tetapi kelihatan masih kuat dan bertenaga!

Sumber: Astro Awani, The Star Online , OhBulan!

Khamis, 17 November 2016

Johor beri bonus untuk Adun pembangkang


KOTA ISKANDAR - Kerajaan negeri mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada para penjawat awam negeri sebagai menghargai komitmen mereka.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemberian insentif itu turut diberikan kepada wakil rakyat termasuk daripada parti pembangkang.
 
"Bonus ini diberikan susulan Johor telah merekodkan pelbagai pencapaian yang membanggakan dan usaha ini tidak akan dapat dicapai tanpa kerja keras dan komitmen kakitangan kerajaan.
 
“Kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sumbangan semua dalam membangunkan Johor," katanya yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Bajet Johor 2017 pada persidangan Dewan Negeri Johor, di Kota Iskandar di sini, hari ini.
 
Mohamed Khaled berharap budaya kerja yang cemerlang itu dapat diterus dan digandakan pada masa hadapan.
 
Difahamkan, seramai 11 000 penjawat awam negeri bakal mendapat manfaat bagi pemberian bonus tersebut.
 
Pengumuman bagi tarikh pemberian bonus itu akan dimaklumkan kelak.
 
Untuk rekod, Johor mempunyai 56 adun termasuk lapan wakil rakyat dari pembangkang iaitu di Puteri Wangsa, Bukit  Batu, Maharani, Johor Jaya, Senai, Skudai, Jorak dan Sg Abong.
 
Sumber - Sinar Harian

Jumaat, 11 November 2016

Azmin didakwa tak amanah, berbohong


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diselar kerana berbohong dalam kenyataannya berhubung cadangan pelantikan bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) berkata, kegagalan Mohamed Azmin memberitahu Dewan Undangan Negeri (Dun) bahawa kenyataannya berhubung isu itu adalah tidak benar amat memalukan setelah menimbulkan perkara tersebut pada 3 November lalu.
 
"Dia (Mohamed Azmin) hadir dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja tetapi dia tidak amanah dan bohong pada Dun dengan mengatakan majlis itu menolak cadangan nama Shukry sedangkan nama itu tidak dibawa pun dalam mesyuarat berkenaan malah beliau sepatutnya tidak boleh mendedahkan perkara berkaitan dengan mesyuarat itu.
 
"Apabila diminta beliau memperjelaskan kenyataannya, dia gagal. Mohamed Azmin guna Majlis Raja-Raja untuk dapatkan sokongan rakyat...mana integriti menteri besar?" katanya kepada pemberita di lobi Dun di sini hari ini.
 
Pada 3 November lalu, ketika sesi perbahasan Dun, Mohamed Azmin dilapor mendakwa Barisan Nasional (BN) mempergunakan SPR dengan mendedahkan cadangan untuk melantik Shukry sebagai Timbalan Pengerusi SPR.
 
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata cadangan berkenaan tidak diterima oleh Majlis Raja-Raja.
 
Pengarah Media Pejabat Perdana Menteri (PMO), Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad dalam satu kenyataan pula berkata, kertas cadangan pelantikan Shukry sebagai timbalan pengerusi SPR tidak dibentang dan dibincang semasa mesyuarat itu.
 
Tengku Sariffuddin menjelaskan bahawa kertas cadangan bagi tujuan itu telah ditarik balik dan telah dimaklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja bersidang.
 
Dalam perkembangan lain, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) kesal dengan tindakan Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh yang menerima usul Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) supaya beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor.
 
Tindakan itu adalah susulan kenyataan Mat Nadzari dalam sidang Dun pada 1 November lalu bahawa terdapat kemungkinan wujudnya niat untuk tidak mengiktiraf sistem Raja Berperlembagaan dan institusi diraja oleh sebahagian komponen dalam pentadbiran Mohamed Azmin.   
 
"Saya dah semak perenggan ucapan saya itu dan ia merupakan pertanyaan yang perlu diberikan penerangan oleh Menteri Besar.
 
"Menteri besar hanya perlu jawab ya atau tidak. Ucapan saya itu merujuk kepada kebarangkalian dan kemungkinan sahaja," katanya.
 
Sementara itu, Hannah berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan yang dipengerusikan beliau akan mengadakan sesi pendengaran dalam beberapa minggu akan datang untuk memanggil Mat Nadzari memberi penjelasan.
 
"Jawatankuasa ini kemudian akan menyediakan penyata dan dibentang serta dibahaskan dalam sidang DUN akan datang dengan cadangan hukuman yang wajar dikenakan terhadap beliau sekiranya didapati bersalah," katanya dalam sidang media selepas sidang dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.
 
Sumber - Bernama, Sinar Harian

Khamis, 10 November 2016

Dun Selangor kecoh, exco sebut bodoh


SHAH ALAM -  Tindakan Exco Kerajan Selangor, Datuk Teng Chang Khim melemparkan perkataan 'bodoh' kepada Adun-adun BN yang rata-ratanya dibarisi Umno pada Sidang Dun ketika sesi pertanyaan tadi menyebabkan dewan panas seketika.
 
Chang Khim yang dilihat mula mengeluarkan perkataan berkenaan berulang kali sehingga menyebabkan barisan Adun BN berang dan berlaku pertengkaran mulut di antara mereka sehingga masing-masing berbalas perkataan bodoh.
 
“Bodoh! Bodoh! Bodoh,” kata Chang Khim berulang kali sambil menuding jari ke arah Adun-adun BN dalam dewan.
 
Perkataan yang sama turut dibalas beberapa Adun BN yang turut bengang dengan tindakan Chang Khim lalu membalas perkataan yang sama termasuk ‘kurang ajar’.
 
Kemarahan Chang Kim bermula apabila mendakwa wujud pihak yang mengaitkan DAP dengan rusuhan kaum pada 13 Mei.
 
Suasana panas yang berlangsung hampir 10 minit pada sesi pertanyaan bagaimanapun kembali reda apabila Speaker Dewan Negeri, Hannah Yeoh menasihati Chang Khim berhenti mengeluarkan perkataan itu dalam dewan.
 
“Adun Sungai Pinang juga tidak harus mengeluarkan perkataan bodoh terhadap ahli-ahli yang berhormat yang duduk di bahagian pembangkang,” katanya tegas.
 
Pada masa sama, beliau turut meminta kedua-dua pihak agar menarik balik perkataan bodoh selain saling memaafkan antara satu sama lain dan ia disambut baik kedua-dua pihak.
 
Terdahulu, Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) dilihat mula mengaitkan parti Umno dalam soalannya sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan Adun BN sebelum menular kepada Adun Sungai Pinang.
 
Sumber - Sinar Harian‎