Jumaat, 25 Januari 2008

Isu Memakai Gelang Tangan di kalangan orang Lelaki - Pertikaian Larangan

Isu Memakai Gelang Tangan di kalangan orang Lelaki - Pertikaian Larangan
Soalan:
Benarkan Islam melarang berubat dengan memakai gelang? Ada sebahagian orang yang mendakwa Nabi saw melarang berubat dengan memamai gelang berdasarkan hadith riwayat Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w. telah melihat di pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan, Apakah bendanya ini?” Lelaki itu berkata: “Ia adalah gelang perubatan, buangkan benda itu dari diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya selama-lamanya.” (Hadith Sohih yang ke-19,885 riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya)

Jawapan:
Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Hadith yang saudara maksudkan diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya demikian juga Ibn Majah di dalam Sunannya. Hadith ini diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain, Lafaznya ialah:

Maksudnya lebih kurang: “Bahawasanya Nabi saw telah melihat seorang lelaki di tangannya ada gelang daripada tembaga, Nabi saw bertanya: “Apakah ini?” Orang itu menjawab: “ianya daripada al-Wahinah.” Sabda Nabi saw: “Tanggalkannya segera, sesungguhnya dia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan, sesungguhnya jika kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selama-lamanya.”

Dalam hadith ini tidak disebut siapakah lelaki yang memakai gelang tersebut, namun di dalam al-Mustadrak al-Hakim dinyatakan lelaki tersebut ialah ‘Imran bin Husain sendiri.

Tentang hadith ini para ulama berbeza pendapat akan kesahihannya. Hadith ini diriwayatkan daripada al-Hasan daripada ‘Imran bin Husain. Para ulama berbeza pendapat apakah al-Hasan benar-benar mendengar daripada ‘Imran bin Husain ataupun tidak. Demikian juga di dalam hadith ini ada periwayat yang bernama Mubarak bin Fadhalah, ia juga diperselisihkan di kalangan ulama hadith. Kesimpulannya para ulama tidak sepakat dalam mensahih dan mendhoiefkan hadith ini.

Jika kita mengambil pendapat ulama hadith yang mensahihkan hadith tersebut, tinggal kepada kita untuk benar-benar memahami maksudnya sehingga kita boleh berhukum dengannya dengan cara yang betul. Perkara ini perlu supaya kita tidak keras mengharam sesuatu yang sebenarnya tidak haram seperti yang kita sangka.

Al-Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan menyebut, pertanyaan Nabi saw: “Apakah bendanya ini.” Yang zahir, pertanyaan ini adalah pertanyaan yang menunjukkan pengingkaran, namun dikatakan juga pertanyaan Nabi saw itu adalah untuk mengetahui tujuannya memakai gelang tersebut.

Manakala jawapan lelaki tersebut: “ianya daripada al-Wahinah.” Membawa maksud, aku memakainya untuk mengelakkan al-Wahinah, untuk dia melindungi aku daripadanya (yakni melindungi daripada al-Wahinah). Al-Wahinah adalah penyakit yang kena pada tangan, dinamakan di kalangan orang Arab dengan al-Wahinah, termasuk di dalam kebiasaan mereka memakai gelang untuk berlindung daripada kesakitannya dan mereka percaya gelang tersebut akan melindungi dari penyakit tersebut.

Al-Syeikh ‘Abdul Hakim (Kuliah al-Syariah Uni. Al-Imam Muhammad bin Saud) di dalam laman islamtoday berkata: Para ulama berbeza pendapat tentang maksud al-Wahinah, namun mereka bersepakat akan illah (sebab) larangan tersebut. Ulama telah bersepakat bahawa illah (sebab) larangan tersebut ialah kerana orang menjadikannya (al-Wahinah) seperti tangkal, yang terdapat larangan menggantungnya.

Berdasarkan fatwa ini, ia menunjukkan larangan memakai al-Wahinah yang ada di dalam hadith tersebut bukanlah semata-mata kerana ianya gelang, dan bukan juga larangan dari berubat dengan gelang. Sebaliknya larangan tersebut disebabkan ia dipakai dan dianggap seperti tangkal bertujuan memelihara diri dari penyakit. Tangkal yang dianggap boleh berubat ini, yang dinamakan sebagai al-Wahinah oleh orang Arab tidak ada sebarang bukti menunjukkan ia boleh menghalang dari penyakit samaada bukti dari Nas Syara’ (al-Quran atau al-Hadith) mahupun penemuan sebab-sebab dia boleh bertindak sebagai ubatan. Kerana itu ia dilarang oleh Nabi saw. Ringkasnya larangan itu adalah disebabkan tangkal yang tidak ada bukti berperanan sebagai pengubat melainkan khayalan dan khurafat semata.

Maka apabila terdapat nas Syara’ atau penemuan saintifik yang dapat membuktikan sesuatu bahan seperti logam atau seumapamanya yang jika dipakai dibadan dapat melancarkan perjalanan darah atau seumpamanya, sudah tentu bahan tersebut boleh digunakan insyaallah. Ini termasuk cara perubatan yang ditemui, hasil dari kajian melalui sebab musababnya.

Ini kerana perubatan yang dibenarkan itu terdiri daripada:

Perubatan dengan ayat-ayat al-Quran dan al-Hadith.
Perubatan dengan bahan-bahan yang disebut di dalam al-Quran dan al-Hadith seperti Madu, Habbah al-Sauda dan seumpamanya.
Perubatan berdasarkan kajian saintifik terhadap sebab-sebabnya, atau berdasarkan pengalaman mengunakannya.

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum orang lelaki memakai gelang, sebahagian mengatakan harus dan sebahagian yang lain mengatakan haram. Namun para ulama yang mengharamkan pemakaian gelang bagi lelaki, setakat penelitian saya tidak ada yang menjadikan hadith di atas sebagai dalil dalam pengharam tersebut. Sebaliknya hadith tersebut banyak digunakan ketika berbicara tentang tangkal dan azimat yang dianggap dapat melindungi dan mengubati tanpa sebarang bukti dari nas syara’ mahupun kajian saintifik. Al-Sindiy ketika mensyarahkan hadith di atas di dalam Sunan Ibn Majah menyatakan larangan tersebut kerana ianya sama dengan al-Tama-im atau tangkal yang dilarang penggunaannya. Kadangkala tangkal itu digantung bersama dengan manik, yang dinamakan Manik al-Wahinah

Penggunaan sesuatu tangkal (terdiri dari potongan besi, tembaga, simpulan benang dan lain-lain) untuk berubat dan memelihara diri, ada perbezaan yang cukup besar dengan cara perubatan dengan sesuatu bahan hasil dari penemuan saintifik. Kepercayaan kepada tangkal yang dapat berubat adalah suatu khayalan yang tidak diterima di dalam syara’, dan ianya tidak ada kaitan langsung dengan unsur-unsur perubatan. Berbeza dengan penggunaan sesuatu bahan hasil dari kajian saintifik dan terbukti memberi manfaat kepada manusia.

Kerana itu, al-Syeikh ‘Abdul Halim di dalam fatwa yang sama (yang saya sebutkan sumbernya di atas) membenarkan penggunaan potongan besi (yang digunakan dalam perubatan moden) yang ditanam pada beberapa gigi, atau di tempat-tempat tertentu di tubuh badan yang berperanan menyerap aliran elektrik yang boleh menjadi sebab seseorang hilang ingatannya (pengsan). Beliau menyambung jika seseorang pesakit mendapat manfaat dengan cara sebegini dengan pengakuan individu berkeahlian yang dipercayai, maka ianya tidak mengapa insyaallah. Cuma beliau di dalam fatwanya mencadangkan lebih baik jika bahan seperti potongan besi itu digunakan ditempat yang tersembunyi sebagai mengelak dari buruk sangka orang ramai.

Demikian juga di dalam laman islam-online, al-Ustaz Muhammad Sa’di (Penyelidik laman islam-online) ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam Syirik yang kecil, beliau menjawab: “Jika terbukti kemanfaatan gelang tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat.”

Seperti yang saya sebutkan di atas, para ulama berbeza pendapat tentang hukum pemakaian gelang bagi lelaki. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut di sisi mazhab al-Syafieyyah terdapat dua wajah tentang hukum perhiasan lelaki selain cincin perak seperti gelang tangan dilengan dan gelang dan kalung dan mahkota. Pertama mengatakan haram dan kedua mengatakan harus selama mana tidak menyerupai wanita, kerana tidak thabit dalam (pengharaman) perak melainkan pengharaman untuk bekas-bekas (seperti pinggan, mangkuk dll), dan perhiasan dalam bentuk menyerupai wanita. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 18/110 bawah bab al-Huliy)

Darul Ifta’al-Misriyyah pula di dalam laman webnya menyebut perkataan al-Rafi’e (ulama mazhab al-Syafie) di dalam Syarh al-Wajiz yang mengatakan harus bagi lelaki memaki cincin perak berdasarkan riwayat cincin Nabi saw daripada perak dan harus juga memakai selain cincin dari perhiasan perak seperti gelang dan gelang lengan dan kalung. Demikian juga perkataan Abu Said al-Mutawali yang mengatakan apabila harus memakai cincin perak, maka tidak ada beza antara jari-jari dengan anggota lainnya, sama seperti perhiasan emas yang dihalalkan untuk wanita, maka diharuskan untuk orang lelaki memakai gelang di lengan, kalung di tengkuk dan gelang di tangan dan selainnya kerana tidak thabit pengharaman perak melainkan pengharaman kepada bekas-bekas dan pengharaman menyerupai wanita.

Kesimpulan dari jawapan di atas ialah:

TIDAK HARAM berubat dengan gelang yang terbukti melalui kajian saintifik atau pengakuan individu yang berkelayakan dan boleh dipercayai agamanya.

Larangan memakai gelang yang dinamakan al-Wahinah di dalam hadith bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal.

Orang-orang yang menggunakan gelang atas sebab-sebab yang dibenarkan hendaklah memerhatikan yang mereka tidak sampai ke tahap yang dilarang seperti pembaziran dan menyerupai wanita dalam penggunaannya

Isu Memakai Gelang Tangan di kalangan orang Lelaki

Isu Memakai Gelang Tangan di kalangan orang Lelaki
Soalan:
Minta tolong ulas email yang saya terima kerana banyak gelang magnetik dijual dipasaran dimana pengedarnya adalah orang islam.

Jawapan:
Rasulullah larang pakai gelang tangan bagi kaum lelaki walaupun untuk tujuan perubatan

Antara perkara yang dilupakan oleh orang Islam hari ini bagi memperkasa jati dirinya ialah dengan memperdalami ilmu-ilmu fardu 'ain dan mengetahui perancangan musuh Islam yang setiap masa mencari jalan bagi menghancurkan pegangan dan hubungan mereka kepada Allah SWT.
Permusuhan mereka telah disebut oleh Allah dalam al-Quran, antaranya menerusi ayat 120 surah al-Baqarah maksudnya : "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kamu (sebagai orang Islam) hingga kamu mengikut agama mereka".
Menerusi ayat 82 surah al-Maidah pula, Allah menegaskan maksudnya : "Kamu akan dapati bahawa orang paling dahsyat menimpakan permusuhan ke atas orang-orang Islam adalah di kalangan Yahudi dan yang sekutu dengan mereka ".
Justeru, kejahilan dan kedangkalan untuk tidak memperdalami ilmu-ilmu agama boleh menyebabkan seseorang itu terikut-ikut dengan tindakan, penampilan, cara hidup orang-orang Kafir.
Musuh Islam merancang termasuk dalam bidang perubatan agar orang Islam juga terjebak untuk menerima cara yang diperkenalkan, sebagai contoh mereka mencipta alat bagi mengurangkan tekanan darah dan sebagainya dalam bentuk gelang tangan, bagi orang Islam yang tipis imannya akan menerimanya sebagai satu kaedah perubatan terkini, sedangkan banyak cara atau kaedah lain yang boleh berbuat demikian, tapi kerana memakai gelang itu adalah dilarang untuk dipakai oleh lelaki muslim, maka itulah cara terbaik diperkenalkan oleh musuh agar kaum muslim dilaknat oleh Allah, apabila dilaknat sudah tentu mereka tidak akan menjadi umat yang kuat untuk menghadapi kemaraan musuh mereka.

Larangan memakai gelang tangan walaupun untuk tujuan perubatan telah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya daripada 'Imran Bin Hussain r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan, Apakah bendanya ini? (iaitu yang dipakai oleh lelaki tersebut di pergelangan tangannya), beliau berkata : Ia adalah gelang perubatan, tegas baginda Rasulullah : Sesungguhnya benda itu (gelang tangan itu) tidak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) selama-lamanya. Hadis Sohih yang ke 19885 riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya.

Pakai gelang tangan menjadi trend dan budaya baru. Di Malaysia ia bermula pada zaman dahulu kala di mana gelang hitam diberikan sebagai hadiah kepada kaum keluarga terdekat dan sahabat-sahabat oleh orang yang baru balik Mekah. Aku pun dulu pernah pakainya masa kecil-kecil.

Sekarang ini pula ia dibenarkan oleh Tabung Haji kepada Jemaaah haji apabila berada di tanah suci kerana faktor mudah untuk dikenali kalau-kalau berlaku apa-apa kemalangan di sana atau sebarang kes hilang, maka mudahlah untuk dikenali. Ohh.. ini Jemaah Haji Malaysia, sebab ada gelang.
Yang peliknya Pak-pak Haji yang lelaki ni bila balik ke Malaysia tak mau cabut buang gelang itu. Dipakainya ke mana-mana termasuk ke surau masjid. Kalau orang tua tunjuk contoh begitu, bila orang muda pakai janganlah hentam orang muda sahaja.

Jenis - jenis gelang yang haram bagi lelaki:
1- Gelang Kayu Koka
2- Gelang Kristal
3- Gelang Tasbih
4- Gelang Getah plastik
5- Gelang Besi magnetik
6- Gelang Besi Tabung Haji (bila dah sampai Malaysia)
dan gelang-gelang lain yang bila dilihat orang, orang ramai kata ianya gelang, hatta budak kecil pun kata gelang.

Jenis-jenis gelang yang diharuskan :
1- Gelang pesakit semasa di hospital. Ia ditanda nama pesakit dan wad.
2- Gelang penjenayah/pesalah. Ianya dipakaikan oleh pihak polis bila tangkapan dibuat.
3- Gelang kaki bagi pesakit gila.

Sekiranya ada yang hendak pakai sangat, maka dia hendaklah berusaha jadikan dirinya salah satu daripada 3 golongan yg diharuskan di atas ..


Nota:
1. Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM
2. Setiap borang yang dihantar hendaklah mengandungi hanya satu soalan sahaja.
3. Jawapan yang diberi adalah berdasarkan Mazhab Shafie kecuali dinyatakan sebaliknya.