Isnin, 12 Disember 2016

Bolehkah Pembangkang Menang PRU Lepas Bersih 5?

1- Di sebalik provokasi kumpulan Baju Merah sejak himpunan Bersih 5 diumumkan, orang ramai tetap turun berhimpun di Kuala Lumpur.
2- Walaupun pada asalnya Tun Dr Mahathir tidak menghadiri perhimpunan tersebut kerana berada di Sudan, hal tersebut sama sekali tidak mengubah hasrat mereka yang ingin turun ke jalan raya semalam.
3- Bagi mereka, turun tetap turun. Lawan tetap lawan.
4- Kehadiran peserta Bersih 5 sememangnya ramai walaupun media arus perdana cuba menafikannya.
5- Yang pasti, wang tunai, makanan dan baju percuma tidak mungkin mengumpulkan lebih 50 ribu orang dari pelbagai kaum untuk berhimpun. Jamal dan konco baju merahnya hanya berjaya mendapatkan 3 ribu penunjuk perasaan walaupun dikatakan mewakili sebuah parti yang mempunyai 3 juta ahli.
6- Melalui sambutan dan kehadiran Bersih 5 semalam, kerajaan sememangnya semakin kehilangan sokongan yang besar di kalangan penduduk bandar- lebih-lebih lagi kerajaan sekarang berdepan dengan isu integriti dan salah guna kuasa oleh pemimpin tertingginya.
7- Perkara ini berlaku kerana menghairakan memandangkan penduduk di kawasan bandar adalah cenderung untuk bersikap ‘anti-establishment’ sebagaimana di negara-negara lain. Dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini pun, hampir semua kawasan bandar (kecuali Kangar dan Johor Bahru) dimenangi oleh parti pembangkang.
8- Namun, di sebalik memenangi kerusi di kawasan-kawasan bandar di seluruh Malaysia dan mempunyai undi popular, parti pembangkang masih tidak berjaya membentuk kerajaan persekutuan.
9- Hal ini berikutan komposisi jumlah pengundi yang berbeza bagi kerusi di bandar dan kerusi di luar bandar. Sebagai contoh, kerusi Kapar mempunyai 144 ribu jumlah pengundi. Jumlah ini adalah 5 kali ganda lebih banyak berbanding kerusi Padang Rengas yang hanya mempunyai 28 ribu pengundi.
10- Adakah ini suatu penipuan atau bahasa inteleknya dipanggil ‘gerrymandering’? Mungkin ya, mungkin tidak atau mungkin ini adalah perkara biasa.
11- Jika dilihat, Donald Trump menjadi presiden kerana mendapat sokongan yang tinggi di kawasan luar bandar berbanding Hillary Clinton yang popular di bandar. Britain juga keluar Kesatuan Eropah kerana undi dari kawasan luar bandar walaupun kota London memilih untuk kekal. Jadi, kawasan luar bandar adalah kunci kepada kemenangan sekalipun di negara-negara maju.
12- Sebenarnya, tujuan kawasan luar bandar diberikan suara yang sama banyak dengan kerusi di bandar walaupun mempunyai jumlah pengundi yang lebih sedikit adalah memastikan suara mereka diambil berat oleh parti politik dan ahli politik.
13- Jika kerusi-kerusi pilihanraya dibahagikan sama banyak mengikut jumlah pengundi, ia menjadikan kawasan bandar mempunyai lebih banyak kerusi berbanding kawasan luar bandar. Ini kerana jumlah penduduk di bandar adalah jauh lebih ramai. Jika ini keadaannya, parti politik hanya perlu bermain facebook dan twitter dalam berkempen dan tidak perlu peduli kepada pengundi luar bandar kerana bilangan kerusi mereka tidaklah begitu signifikan.
14- Oleh itu, mahu tidak mahu, setiap parti politik (setidak-tidaknya di Malaysia) harus berkempen dan menenangi hati pengundi di luar bandar. Inilah sistemnya dan ini jugalah permainannya.
15- Bersih 5 yang dianjurkan semalam sudah jelas memberikan mesej kepada parti pemerintah bahawa majoriti orang di bandar akan menolak mereka.
16- Tetapi, janganlah terkejut jika parti pemerintah masih menjadi kerajaan persekutuan pada pilihanraya yang akan datang. Perkara ini boleh terjadi jika parti pembangkang berterusan tidak menambah bilangan kerusi mereka di kawasan luar bandar.
17- Oleh itu, untuk memenangi kerusi di luar bandar, mereka (parti pembangkang) memerlukan undi orang Melayu. Satu perkara yang menarik dalam Bersih 5 adalah peningkatan peserta Melayu jika dibandingkan dengan himpunan Bersih 4. Dan peningkatan ini begitu ketara dan berjaya digerakkan tanpa bantuan parti PAS. (Sebelum ini, ahli merekalah yang paling ramai menyertai himpunan.)
18- Adakah ini bermaksud parti BERSATU telah mempunyai ‘traction’ di kalangan orang Melayu termasuk ahli UMNO? Adakah penyokong PAS yang tidak setuju dengan arahan parti bertindak keluar berhimpun? Atau kedua-duanya sekali?
19- Sokongan orang Melayu amat penting terutama pada pilihan raya akan datang yang mana akan menjadi ‘The Malay Election’. Kewujudan BERSATU yang berasaskan orang Melayu adalah tepat dalam menyaingi parti UMNO.
20- Tsunami Cina yang menyaksikan lebih 85%-90% sokongan kaum Cina kepada parti pembangkang tidak akan terjadi lagi pada pilihan raya akan datang melainkan pengundi Cina yakin kerajaan akan berubah. Jika tidak, sokongan pengundi Cina kepada pembangkang hanyalah sekitar 65%- 75%.
21- Untuk hal ini berlaku, ‘Tsunami Melayu’ perlu berlaku. Dan kehadiran peserta Melayu di Bersih 5 boleh jadi adalah satu permulaan.
22- Sungguhpun begitu, jika PAS masih kekal dengan prinsip ‘ke pakatan tidak, ke barisan pun tidak’ dan menjadikan pertandingan tiga penjuru, Barisan Nasional akan mendapat majoriti 2/3 dengan lebih kurang 160-166 kerusi. PAS tidak akan menambah bilangan kerusi mereka.
23- Oleh itu, PAS boleh menilai kembali prinsip mereka melihatkan situasi di Bersih 5 yang menyaksikan kehadiran lebih ramai peserta Melayu dan pada masa yang sama menanti sehingga 24 November sama ada rang undang-undang persendirian Presiden mereka dibawakan ke dalam dewan atau dibiarkan sepi.
24- BERSATU pula, selepas mendapat publisiti melalui himpunan awam di bandar haruslah berusaha meningkatkan sokongan orang Melayu di kawasan luar bandar terutama di 24 kerusi UMNO yang majoritinya hanya 2,000 undi ke bawah. Mendaftarkan lebih ramai pengundi muda Melayu juga adalah cara yang berkesan memandangkan ahli BERSATU majoritinya adalah golongan muda.
25- Bagaimana UMNO mahu mengekalkan atau meningkatkan sokongan orang Melayu bergantung kepada strategi mereka dan mereka sudah pasti tahu caranya kerana mereka adalah ‘market leader’ dalam segmen pengundi Melayu. Memandang rendah keupayaan parti politik melayu terbesar ini hanya menjadikan pengundi di bandar ‘delusional’.
26- Bersih 5 sememangnya tidak menyebabkan Perdana Menteri letak jawatan. Jauh sekali berjaya menggulingkan kerajaan. Tetapi sejarah melihatkan Bersih 1 yang disertai pelbagai kaum pada 2007 telah menafikan Barisan Nasional majoriti dua per tiga dalam pilihan raya 2008. Dan kita semua tahu setahun selepas itu Malaysia mendapat seorang Perdana Menteri yang baru.
27- Sejarah juga melihatkan pada kita Bersih 2 dan Bersih 3, (walaupun mendapat lebih banyak sambutan) tetap tidak berjaya menukar kerajaan pada pilihanraya 2013. Sudah pasti terdapat beberapa pengajaran yang boleh dipelajari.
28- Sejarah, sebagaimana yang kita tahu, adalah guru yang terbaik. Belajarlah.
Radzi Tajuddin
Pemerhati Tidak Bebas
sumber - apemazing.com
Previous Post
Next Post

About Author