Rabu, 9 November 2016

Pas tawar kerjasama untuk tewaskan BN


SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas Hashim Jasin berkata strategi ‘satu lawan satu’ ada strategi terbaik dalam menewaskan Barisan Nasional yang pengaruhnya semakin lemah.
 
Hashim berkata Pas mempunyai sikap yang sangat terbuka untuk bekerjasama dan sentiasa membuka pintu rundingan bagi mewujudkan kekuatan pembangkang.
 
“Kerjasama politik adalah satu pendekatan yang sangat penting dalam menjatuhkan kezaliman Kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
 
Justeru, Pas mempunyai sikap yang sangat terbuka dalam soal ini, dan sentiasa membuka pintu rundingan bagi mewujudkan kekuatan pembangkang,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Namun begitu Hashim berkata, sebagai  parti yang berasaskan Islam dan mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pilihan raya di negara ini, Pas tidak akan mengadakan kerjasama politik yang tidak menguntungkan Islam.
 
Menurut Hashim Pas berpandangan bahawa tahaluf siyasi yang hendak dilakukan kali ini mestilah dipimpin oleh Islam.
 
Tambahnya, Pas telah menyediakan platform kerjasama yang dipimpin oleh Islam melalui blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang kini telah disertai oleh Ikatan dan Berjasa.
 
“Mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama dengan Pas dalam pilihan raya akan datang, pintu kerjasama sentiasa terbuka dengan syarat mereka menerima kerjasama ini dipimpin oleh Islam.
 
Tawaran kerjasama ini juga terbuka kepada parti-parti bukan Islam yang bersedia dipimpin oleh Islam,”katanya.
 
Tambahnya, bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengingatkan bahawa jika Umno menerima Islam, kita bersedia membubarkan Pas.
 
“Ini prinsip kerjasama yang dipimpin oleh Islam yang menjadikan penerimaan terhadap Islam sebagai syarat kerjasama.
 
Pihak yang menentang Islam atau mengkhianati Islam tidak layak bekerjasama dengan Pas, kecuali mereka berubah sikap untuk menerima Islam sebagai pemimpin dalam kerjasama ini,” katanya.
 
Sumber - Sinar Harian
Previous Post
Next Post

About Author