Khamis, 3 November 2016

Naik jet kerajaan, Riza dan Ashman perlu bayar ikut harga komersial

PETALING JAYA: Dua anak perdana menteri, Riza Aziz dan Ashman Najib perlu membayar kembali kos setiap perjalanan mereka menggunakan jet peribadi kerajaan mengikut harga komersial, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.
 
Beliau berkata, ia pendekatan yang diamalkan keluarga pemimpin di negara lain.
 
“Ini amalan yang digunakan keluarga pemimpin negara lain, termasuk Michelle Obama (isteri Presiden Amerika Syarikat Barack Obama) sendiri.
 
“Oleh itu, saya menuntut Riza Aziz dan Ashman Najib membayar kembali kos setiap perjalanan mereka menaiki jet peribadi kerajaan, termasuk yang terbaru ke China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Beliau sebelum ini membangkitkan keperluan Riza (anak tiri) dan Ashman menaiki jet peribadi kerajaan mengikuti lawatan rasmi Datuk Seri Najib Razak ke China pada 31 Oktober lalu, seperti disiarkan dalam liputan RTM1.
 
Pembantu Perdana Menteri Rizal Mansor semalam menjelaskan penyertaan keluarga Najib dalam lawatan itu bagi menghormati Beijing yang turut menjemput mereka.
 
Beliau yang juga ahli Parlimen Pandan itu menggesa kerajaan menjelaskan peraturan penggunaan jet peribadi kerajaan.
 
“Jika jet peribadi adalah untuk kegunaan VVIP negara sahaja, adakah selain isteri perdana menteri, anak dan anak tiri beliau juga diiktiraf sebagai VVIP? Jika tidak, apakah mereka membayar kos menaiki jet itu? Berapa yang sudah mereka bayar setakat ini?
 
“Siapakah lagi yang layak menaikinya? Adakah ahli Parlimen seperti kami pun boleh menaiki jet peribadi itu?” soalnya lagi.
 
Beliau mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sering berselindung di sebalik nama Yang di-Pertuan Agong dan tidak menjawab secara terus, setiap kali soalan berhubung kos dan penggunaan jet peribadi kerajaan diajukan.
 
Sumber - FMT, MSN News
Previous Post
Next Post

About Author