Jumaat, 11 November 2016

Azmin didakwa tak amanah, berbohong


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diselar kerana berbohong dalam kenyataannya berhubung cadangan pelantikan bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) berkata, kegagalan Mohamed Azmin memberitahu Dewan Undangan Negeri (Dun) bahawa kenyataannya berhubung isu itu adalah tidak benar amat memalukan setelah menimbulkan perkara tersebut pada 3 November lalu.
 
"Dia (Mohamed Azmin) hadir dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja tetapi dia tidak amanah dan bohong pada Dun dengan mengatakan majlis itu menolak cadangan nama Shukry sedangkan nama itu tidak dibawa pun dalam mesyuarat berkenaan malah beliau sepatutnya tidak boleh mendedahkan perkara berkaitan dengan mesyuarat itu.
 
"Apabila diminta beliau memperjelaskan kenyataannya, dia gagal. Mohamed Azmin guna Majlis Raja-Raja untuk dapatkan sokongan rakyat...mana integriti menteri besar?" katanya kepada pemberita di lobi Dun di sini hari ini.
 
Pada 3 November lalu, ketika sesi perbahasan Dun, Mohamed Azmin dilapor mendakwa Barisan Nasional (BN) mempergunakan SPR dengan mendedahkan cadangan untuk melantik Shukry sebagai Timbalan Pengerusi SPR.
 
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata cadangan berkenaan tidak diterima oleh Majlis Raja-Raja.
 
Pengarah Media Pejabat Perdana Menteri (PMO), Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad dalam satu kenyataan pula berkata, kertas cadangan pelantikan Shukry sebagai timbalan pengerusi SPR tidak dibentang dan dibincang semasa mesyuarat itu.
 
Tengku Sariffuddin menjelaskan bahawa kertas cadangan bagi tujuan itu telah ditarik balik dan telah dimaklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja bersidang.
 
Dalam perkembangan lain, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) kesal dengan tindakan Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh yang menerima usul Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) supaya beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor.
 
Tindakan itu adalah susulan kenyataan Mat Nadzari dalam sidang Dun pada 1 November lalu bahawa terdapat kemungkinan wujudnya niat untuk tidak mengiktiraf sistem Raja Berperlembagaan dan institusi diraja oleh sebahagian komponen dalam pentadbiran Mohamed Azmin.   
 
"Saya dah semak perenggan ucapan saya itu dan ia merupakan pertanyaan yang perlu diberikan penerangan oleh Menteri Besar.
 
"Menteri besar hanya perlu jawab ya atau tidak. Ucapan saya itu merujuk kepada kebarangkalian dan kemungkinan sahaja," katanya.
 
Sementara itu, Hannah berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan yang dipengerusikan beliau akan mengadakan sesi pendengaran dalam beberapa minggu akan datang untuk memanggil Mat Nadzari memberi penjelasan.
 
"Jawatankuasa ini kemudian akan menyediakan penyata dan dibentang serta dibahaskan dalam sidang DUN akan datang dengan cadangan hukuman yang wajar dikenakan terhadap beliau sekiranya didapati bersalah," katanya dalam sidang media selepas sidang dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.
 
Sumber - Bernama, Sinar Harian
Previous Post
Next Post

About Author